Calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin beramah mesra bersama pengundi semasa membuat tinjauan membuang undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.20 Sungai Bakap di SK Sungai Duri, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 6 JULAI 2024.

NIBONG TEBAL – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Dr. Joohari Ariffin melahirkan rasa teruja selepas meninjau pusat mengundi  Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri yang disifatkan sebagai kawasan hitam.

Beliau yang juga calon mewakili Kerajaan Perpaduan menyifatkan dirinya tidak terasing berada di kawasan tersebut meskipun ia merupakan kawasan kelahiran pihak lawan iaitu calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

“Saya rasakan ini (Sungai Duri) adalah kawasan saya. Tak rasa asing pun. Malah, saya yakin pengundi-pengundi akan melakukan pilihan yang bijak untuk memilih (calon yang layak),” katanya kepada pemberita sebaik selesai meninjau Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Sungai Duri di sini, hari ini.

Difahamkan Dr Joohari tidak mengundi hari ini susulan beliau merupakan pengundi di DUN Sungai Acheh yang juga salah satu DUN dalam Parlimen Nibong Tebal.

Menurut Joohari, SK Sungai Duri merupakan pusat pengundian pertama yang dikunjunginya  dan beliau akan melakukan perkara sama di lokasi-lokasi lain.

“Setakat pagi ini saya lihat pengundi datang ramai.. Saluran juga dilihat hampir seimbang manakala kotak undi turut kelihatan hampir separuh.

“Diharap (pengundi datang mengundi) berterusan sehingga petang. Selain itu saya lihat kotak undi pengundi muda lebih kurang sama maknanya kita tengok mereka bersemangat untuk datang ke sini bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada PRK bagi memilih wakil rakyat DUN Sungai Bakap esok.

Sebanyak sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran dijadual dibuka serentak bermula jam 8 pagi dan ditutup jam 6 petang.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pilhan raya kecil kawasan itu diadakan semula susulan kematian penyandangnya  Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. – MalaysiaGazette