Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, membawa peti undi seawal jam 6.40 sebagai persiapan sempena kempen pilihan raya kecil dewan undangan N.20 Sungai Bakap di Sekolah Sungai Duri, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 6 JULAI 2024.

NIBONG TEBAL – Belum pun pintu pagar Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri dibuka, orang ramai sudah beratur untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecik (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pagi ini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati seawal 7.15 pagi orang awam sudah mula menunggu di pintu sekolah tersebut meskipun rata-rata yang hadir tinggal tidak jauh dari pusat mengundi.

Menurut Azizanindayati Supia, 44, dia bangun seawal 5 pagi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi memandangkan jarak rumahnya dengan pusat mengundi ini hampir 20 kilometer.

Azizanindayati.

“Dulu saya menetap di sini (Sungai Duri) tetapi kini kami (bersama suami) telah berpindah ke kawasan perumahan di Alma, Bukit Mertajam membuatkan lebih awal saya bergerak ke sini.

“Selain itu, selepas ini saya juga ada urusan di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Bagi Hasema Ahmad, 74, ini merupakan kali ketujuh dia menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi DUN Sungai Bakap dan sudah menjadi kebiasaan buat dirinya keluar awal bagi mengelakkan kesesakan.

Hasema (kanan) bersama anaknya antara pengundi terawal tiba di SK Sungai Duri.

“Memang rumah di Kampung Sungai Duri saja tapi kalau mai (datang) awal mudah hendak cari parkir sekali gus elak kesesakan.

“Saya hendak elak bersesak-sesak. Lagipun datang awal sebab takut hujan sama tambahan pula cuaca kini sukar diramal,” katanya.

Sementara itu, Hajar Norashiha Razali, 40, berkata, dia datang awal bagi memastikan sokongan anak jati Sungai Bakap dibuktikan menerusi kertas undi.

Hajar Norashiha.

“Lagipun bila sudah datang awal ni.. kita boleh jadi pembangkit semangat kepada orang lain untuk turut keluar sama mengundi.

“Jari yang dicelup dakwat memberi impak besar kepada orang luar khususnya pengundi muda yang belum menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada PRK bagi memilih wakil rakyat DUN Sungai Bakap esok.

Sebanyak sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran dijadual dibuka serentak bermula jam 8 pagi dan ditutup jam 6 petang.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pilhan raya kecil kawasan itu diadakan semula susulan kematian penyandangnya  Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast