KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam direman enam hari sehingga 11 Julai ini selepas disyaki meminta dan menerima wang rasuah RM750 sebagai balasan memastikan calon lulus ujian memandu.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an telah ditahan kira-kira 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan.

“Penahanan suspek adalah susulan tangkapan dua penjawat awam dan dua orang awam semalam berkaitan kes yang sama.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut awal bulan ini apabila secara bersama meminta dan menerima suapan bersama seorang guru sekolah memandu dan seorang agen sebagai jaminan meluluskan calon ujian lesen memandu sebuah akademi sekolah memandu di sebuah bandar negeri ini,” katanya.

Terdahulu, perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Anis Hanini Abdullah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette