NIBONG TEBAL – Pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang bermula 8 pagi berakhir selepas sembilan pusat mengundi membabitkan 65 saluran ditutup sepenuhnya pukul 6 petang tadi.
Sejurus ditutup ke semua peti undi daripada 65 saluran itu dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi.
Keputusan rasmi PRK berkenaan dijangka diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya seawal pukul 8 malam.
Proses pengundian hari ini membabitkan 39,151 pengundi yang layak menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
Pilhan raya kecil kawasan itu diadakan semula susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. – MalaysiaGazette