Calon Parti Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail, Meminta restu dari ibunya Che Refiah Zakaria, 79, sebelum membuang undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.20 Sungai Bakap di SK Sungai Duri, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 6 JULAI 2024.

NIBONG TEBAL – Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail mendapatkan restu ibunya Che Refiah Zakaria, 79, sebelum memasuki Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Sungai Duri, Sungai Bakap di sini.

Abidin, 56, atau lebih mesra disapa Abang Abidin sempat bertanyakan khabar serta kesihatan ibunya sebelum memasuki ruang mengundi.

“Mak makan dak (sudah) lagi? Ubat dah makan belum?.. tu awat nampak macam nak menangis,” katanya sebaik melihat ibunya sebak ketika bertemunya.

Terdahulu, Abidin tiba di pekarangan sekolah tersebut kira-kira jam 8.15 pagi bagi menunaikan kewajipan sebagai pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Sementara itu, Che Refiah berkata, dia akan sentiasa menjadi penyokong kuat anaknya itu.

“Saya harap semuanya akan berjalan lancar untuk dia (Abidin) InsyaAllah.. Saya juga berharap dia diberi mandat pada PRK ini,” katanya.

Che Refiah antara pengundi terawal selesai melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi di situ sambil ditemani anak perempuannya Zalina Ismail, 58.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada PRK bagi memilih wakil rakyat DUN Sungai Bakap esok.

Sebanyak sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran dijadual dibuka serentak bermula jam 8 pagi dan ditutup jam 6 petang.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pilhan raya kecil kawasan itu diadakan semula susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast