Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun

NIBONG TEBAL – Pengundi pelbagai peringkat usia keluar secara seimbang bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri, Ramlan Harun berkata, itu rumusan yang boleh dibuat pihaknya berdasarkan pemerhatian yang dibuat di beberapa pusat mengundi bagi DUN Sungai Bakap.

“Setakat jam 11 pagi tadi, peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 24 peratus dan ia masih rendah jika dibandingkan pada tempoh sama ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Sehubungan itu, saya harap pengundi Sungai Bakap dapat menunaikan tanggungjawab mereka dengan segera kerana cuaca di sebelah petang kita tidak boleh jangka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri di sini, hari ini.

Terdahulu, Ramlan meninjau dua pusat pengundian iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasek Mutiara dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Boon Beng.

Tambah Ramlan, proses perjalanan pengundian setakat ini berjalan lancar meskipun ada sedikit beberapa kesalahan kecil namun ia sudah ditangani sebaiknya.

“Kita tidak menerima sebarang kesalahan besar dan serius sepanjang proses pengundian ini,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada PRK bagi memilih wakil rakyat DUN Sungai Bakap esok.

Sebanyak sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran dijadual dibuka serentak bermula jam 8 pagi dan ditutup jam 6 petang.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pilhan raya kecil kawasan itu diadakan semula susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast