Tanjak merupakan aksesori kepala tradisional Melayu yang dipakai oleh golongan lelaki dan pakaian kebesaran raja-raja Melayu sejak berkurun lamanya.

KUALA LUMPUR – Program Precious Of Malaysia menyasarkan seramai 1,000 orang pelbagai bangsa bertanjak sempena penganjuran Hari Tanjak Malaysia pada 10 Ogos depan sempena bulan kemerdekaan.

Penganjur program, Farel Mikhail berkata, ia bertujuan untuk melihat budaya memakai tanjak akan terus dikekalkan generasi pelapis dalam masyarakat hari ini.

Malah katanya, program itu juga mahu menjaga, mengembangkan serta melestarikan tanjak sebagai warisan budaya Melayu yang perlu dibanggakan.

 

Precious Of Malaysia sasar 1,000 orang bertanjak sempena Hari Tanjak Malaysia.

“Tanjak merupakan aksesori kepala tradisional Melayu yang dipakai oleh golongan lelaki dan pakaian kebesaran raja-raja Melayu sejak berkurun lamanya.

“Walaupun aksesori itu kebiasaannya dipakai dalam adat istiadat diraja dan dianggap sebagai klasik namun dengan suntikan moden, warisan Melayu itu terus hidup dan menjadi perhatian generasi baharu pada hari ini.

“Apabila pakai tanjak, ini sekaligus mendorong mereka mengambil tahu asal usul atau sejarah di sebalik pemakaian tanjak itu dan tidak salah untuk anak-anak muda ini memadankan tanjak dengan pakaian seharian mereka seperti baju kasual atau berseluar jeans,” katanya pada sidang media program itu di sini hari ini.

Farel yang juga pereka fesyen menambah, program anjuran FM Group itu adalah kesinambungan daripada pelbagai pihak sebelum ini yang menganjurkan kempen pakai tanjak.

“Jika dilihat sebelum ini, ada saja pihak lain yang membawa kempen memakai tanjak. Misalnya kempen memakai tanjak yang digerakkan oleh sekumpulan individu yang mewarnai Hari Malaysia pada 16 September beberapa tahun lepas.

“Kempen yang dinamakan ‘Hari Tanah Melayu Kembali Bertanjak’ itu sebelum ini pernah tular dalam media sosial. Jadi, penganjuran Hari Tanjak Malaysia yang saya bawakan ini pula akan memeriahkan lagi suasana bulan kemerdekaan.

“Untuk itu, saya mensasarkan 1,000 orang dari pelbagai bangsa untuk hadir memakai tanjak pada hari tersebut bagi meneruskan warisan budaya kita di samping mengukuhkan tali silaturrahim dan semangat perpaduan berbilang kaum dalam negara.

“Bagi saya, pemakaian tanjak yang merupakan budaya Melayu itu sebenarnya budaya Malaysia juga,” ujarnya.

Hari Tanjak Malaysia akan dianjurkan pada 10 Ogos depan.
depan.

Sementara itu, pada masa sama, Precious Of Malaysia turut menganjurkan pertandingan rekaan fesyen sempena International Cultural Fashion Week (ICFW) yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 Ogos ini di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur.

Menurut Farel, ICFW adalah platform untuk anak-anak muda berkarya terutamanya dalam menghasilkan busana tradisional atau kontemporari.

“Pertandingan ini lebih kepada memberi platform kepada pereka fesyen baharu atau sedang mencipta nama.

“Ini masanya untuk mereka membuktikan bakat atau kebolehan mereka. Ada sesetengah pelajar lepasan jurusan fesyen, mereka tiada tempat untuk memperlihatkan karya mereka dan terus melebarkan sayap dalam bidang fesyen,” katanya yang menganjurkan ICFW bersama rakan pereka fesyen Jonathan. – MalaysiaGazette

Farel Mikhail turut menganjurkan ICFW bersama rakan pereka fesyen Jonathan.