NIBONG TEBAL – Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mendahului pencabarnya, Pakatan Harapan (PH).
Setakat 8 malam tadi, keputusan tidak rasmi menyatakan calon PN, Abidin Ismail memperoleh 14,383 undi mengatasi calon PH, Dr. Joohari Ariffin dengan memperoleh 9,997 undi.
Secara tidak rasmi, Abidin memperoleh majoriti 4,386 undi setakat ini.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
Pilhan raya kecil kawasan itu diadakan semula susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu, Nor Zamri menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – MalaysiaGazette