Pekerja wanita asing yang menawarkan khidmat seks dengan caj tambahan di rumah urut sekitar Lembah Klang diberkas Jumaat lalu.Ihsan D7 JSJ Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Seramai 39 ‘kupu-kupu’ warga asing ditahan dalam 10 serbuan di Brickfields, Cheras dan Dang Wangi serta Kajang, Gombak dan Ampang di Selangor, Jumaat lalu.

Mereka yang berusia 19 hingga 50 tahun ini dipercayai bekerja sebagai pekerja seks dan tukang urut.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, operasi serbuan secara mega itu dilaksanakan oleh Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Bukit Aman hasil maklumat dan risikan bermula jam 3 petang.

Katanya, siasatan mendapati ‘kupu-kupu’ asing itu menawarkan khidmat urut dengan harga serendah RM60, tetapi turut menyediakan khidmat seks dengan bayaran tambahan terhadap pelanggan mereka.

“Kesemua wanita persundalan yang ditahan itu terdiri daripada 22 warga Thailand, masing-masing lima warga Vietnam dan Indonesia, enam wanita Laos dan seorang warga Kemboja.

“Menerusi serbuan sama, seramai sembilan lelaki termasuk seorang warga asing yang merupakan penjaga kaunter premis urut selain seorang pelanggan lelaki turut ditahan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebuah premis yang diserbu dalam pada Jumaat lalu. Ihsan D7 JSJ Bukit Aman

Tambah beliau, siasatan lanjut polis mendapati kesemua premis urut terbabit melakukan kesalahan menggajikan wanita warga asing bekerja tanpa sebarang permit kerja yang sah serta terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral.

Siasatan turut mendedahkan premis-premis urut itu beroperasi setiap hari bermula dari jam 10 pagi hingga 1 pagi yang mana pelanggan mendapatkan khidmat urut dan seks secara ‘walk in’ selain membuat tempatan menerusi aplikasi WhatsApp.

Malah, kita mendapati kebanyakan premis urut ini menyasarkan warga asing dan pelanggan tetap sahaja mengelak pencerobohan orang luar atau dihidu pihak berkuasa.

“Harga bagi pakej perkhidmatan seks yang ditawarkan oleh wanita asing di premis urut itu bermula RM150 sehingga RM320 bagi satu sesi, manakala bagi urutan badan caj serendah RM60 sehingga maksimum RM120 dikenakan kepada pelanggan mereka.

“Pekerja seks ini turut mengenakan bayaran tambahan sebanyak RM50 ke RM80 untuk khidmat-khidmat lain kepada pelanggan mereka,” ujarnya.

Mohamad Farouk berkata, kebanyakan wanita asing ini melakukan kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial dan ada di antara mereka yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri semasa ditahan dalam serbuan itu.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menawarkan tubuh badan atau menjual diri bagi tujuan khidmat seks dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

“Kesemua tangkapan turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” kata beliau. – MalaysiaGazette