Keropok yang mengandungi racun tikus bagi tujuan memerangkap monyet.

KUALA LUMPUR – Dua kanak-kanak lelaki kini dilaporkan kritikal selepas termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus yang diambilnya tergantung pada pagar kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, kebun tersebut berdekatan dengan kediaman kedua-dua mangsa yang berusia dua dan tiga tahun itu.

Kejadian itu disedari ibu mangsa yang berumur 25 tahun selepas melihat kedua-dua mangsa muntah di rumah sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Malau dan kemudian ke Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati, dua beradik itu dipercayai mengambil paket keropok segera yang tergantung di dawai besi pagar kebun itu yang mengandungi racun bagi tujuan memerangkap monyet.

“Kedua-dua mangsa dipercayai telah membuka dan memakan makanan ringan itu dan kemudian ibu mangsa melihat anaknya muntah serta mulut berbuih di rumah kira-kira 11 pagi.

“Pegawai perubatan HK yang merawat kedua-dua beradik itu didapati berada dalam keadaan kritikal kemudian merujuk mereka ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Mohd Azizul, pihaknya kini sedang mengesan kebun disyaki jiran mangsa untuk membantu siasatan kes itu.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-Kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette