KUALA LUMPUR – Sindiket menjual spesies kura-kura yang dilindungi yang telah diseludup masuk dari luar negara berjaya ditumpaskan.
Kegiatan itu dilumpuhkan dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Tasek Permai di Ampang sekitar 7.30 petang pada 2 Julai lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, serbuan itu kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Wildlife Crime Bureau/Perisikan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (JKDNKA).
“Hasilnya, pasukan bersepadu berjaya membuat tangkapan ke atas enam individu termasuk seorang wanita yang didapati terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang tersebut.
“Kesemua enam individu yang ditahan itu terdiri daripada empat warga Kemboja dan dua tempatan.
“Pemeriksaan lanjut di dalam premis terbabit juga berjaya membawa kepada penemuan hampir 200 ekor kura-kura disyaki spesies Chinese Stripe Necked Turtle, Black Pond Turtles, Snapping Turtle, Sulcata Tortoise, Leopard Tortoise, Red Footed Tortoise dan Kura-Kura Katup.
“Selain itu,dalam serbuan sama pasukan operasi turut merampas tiga ekor ular, seekor mengkarung, empat labi-labi serta lima ekor katak,” katanya apabila dihubungi hari ini.
Nilai keseluruhan kesemua rampasan itu adalah dianggarkan berjumlah RM246,394 dan soal siasat ke atas suspek juga gagal mengemukakan lesen atau permit daripada Jabatan Perhilitan yang membolehkan menyimpan hidupan liar dilindungi itu.
Jelas Abdul Kadir, beberapa barang seperti tiga telefon bimbit, ipad, buku resit, 10 unit CCTV, empat set komputer serta dua peti sejuk turut dirampas daripada suspek berkenaan untukĀ membantu siasatan lanjut.
“Siasatan awal kami mendapati kura-kura itu diseludup masuk dari luar negara untuk pasaran gelap tempatan dan kita tidak tolak kemungkinan aktiviti jualan ini berlaku secara dalam talian atau juga pembeli tetap.
“Namun siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti rangkaian ahli serta pembeli terlibat dalam kegiatan haram itu,” ujarnya sambil menambah bahaw siasatan dan tindakan akan dilaksanakan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716],” tegasnya.- MalaysiaGazette