KUALA LUMPUR – Lima suspek termasuk dua wanita ditahan polis disyakit terlibat dalam kegiatan pecah rumah di Subang Jaya hingga menyebabkan kerugian sebanyak RM40,000 pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengurus sumber manusia memaklumkan rumahnya dipecah masuk.

“Mangsa bersama keluarganya telah keluarga telah keluar pergi bekerja namun kembali ke rumah pukul 12.30 tengah hari dan mendapati pintu pagar rumah mereka telah dirosakkan.

“Mangsa mendapati bingkai besi pintu rumah telah diumpil dan keadaan dalam rumah berselerak selain barang berharga serta wang tunai turut hilang,” katanya dalam kenyataan.

Susulan itu, sepasukan polis telah menahan kesemua suspek termasuk dua pasangan suami isteri berusia 22 hingga 32 tahun sekitar Lembah Klang kira-kira 8 malam.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebahagian daripadda barang kes seperti beg tangan, jam tangan, telefon bimbit, sejumlah wang tunai serta alat perkakas seperti spanar dan playar yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

“Hasil soal siasat terhadap suspek, kami percaya berjaya menyelesaikan 15 kes pecah rumah di Subang Jaya pada tahun ini yang dipercayai didalangi kumpulan berkenaan,” jelasnya.

Tambah Wan Azlan, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka direman selama empat hari bermula semalam hingga 10 Julai bagi siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan jenayah di daerah itu boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Subang Jaya di talian 03-78627100 untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette