Dr. Azmi Hassan

KUALA LUMPUR – Kemenangan besar calon Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kelmarin meletakkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam keadaan sukar.

Ini kerana, menurut pemerhati politik, Prof Dr Azmi Hassan, Pas kini dilihat semakin kuat dan dominan di kerusi-kerusi majoriti Melayu dan menjadi wadah politik utama kaum itu jauh mengatasi Bersatu mahu pun UMNO.

Jelas beliau yang juga Felo di Majlis Profesor Negara (MPN), keadaan itu sekali gus akan mempengaruhi keputusan pemilihan calon PN bagi PRK DUN Nenggiri bulan depan yang mana Pas berhak menuntut calon mereka bertanding di kerusi berkenaan.

“Apatah lagi DUN Nenggiri sendiri terletak di Kelantan yang diketahui merupakan negeri dikuasai Pas, jadi sudah semestinya Pas mahukan calon mereka dipilih bertanding di PRK itu dan kemenangan besar calon mereka di Sungai Bakap akan menguatkan lagi permintaan tersebut,” kataya kepada MalaysiaGazette.

Pada PRK DUN Sungai Bakap kelmarin, Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail berjaya memastikan PN kekal di kerusi itu apabila menewaskan calon Kerajaan Perpaduan daripada PKR, Dr. Joohari Ariffin dengan majoriti 4,267 undi.

Sementara itu, PRK DUN Nenggiri akan diadakan pada 17 Ogos depan dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 3 Ogos manakala undi awal pada 13 Ogos.

Pada 19 Jun lalu, DUN Kelantan mengisytiharkan kerusi Nenggiri dikosongkan selepas ADUN Mohd. Azizi Abu Naim hilangan keahlian parti Bersatu berikutan menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada PRN Kelantan, Ogos tahun lalu, Mohd. Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Ab. Aziz Yusoff yang memperolehi 5,707 undi.

Menurut Azmi, PN perlu berhati-hati dalam keputusan memilih calon pada PRK DUN Nenggiri kelak dengan sesekali tidak boleh mengabaikan calon daripada Pas meskipun pada dasarnya pimpinan tertinggi gabungan politik itu bersetuju calon Bersatu dikekalkan buat masa ini.

Ujarnya, perkara itu bagi mengelak wujudnya rasa tidak puas hati dan protes dalam kalangan ahli Pas di kawasan berkenaan yang mungkin mengambil keputusan tidak akan mengundi pada PRK tersebut kelak.

Jelas beliau, dengan majoriti yang kecil dimenangi Bersatu iaitu sekitar 800 undi pada PRN lepas, tidak mustahil BN mampu merampas semula DUN Nenggiri sekiranya wujud protes daripada ahli Pas yang tidak berpuas jika calon Bersatu kekal bertanding kerusi itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast