KUALA LUMPUR -Kekalahan mengejut pada pemilihan jawatan Naib Presiden MIC tidak akan sesekali membantutkan Datuk T Mohan daripada terus bersuara mahupun aktif dalam parti terbesar masyarakat India itu.
Bahkan, menerusi akaun TikTok miliknya, Mohan berkata, dia cukup berterima kasih dengan 8,280 ahli MIC mengundinya pada pemilihan kali ini.
“Walaupun sipi-sipi sahaja, tetapi saya tidak mempunyai apa-apa niat untuk membuat pengiraan semula atau membuat aduan RoS tentang dakwaan salah laku ketika pemilihan. Pada saya, ini satu proses pemilihan secara demokrasi dan saya amat berterima kasih kepada setiap seorang yang mengundi saya.
“Timbul juga persoalan apakah perancangan saya seterusnya kerana tidak ada sesiapa yang menyangka yang saya akan kalah. Kepada semua, jangan risau. Saya adalah T Mohan anda. Saya akan terus bersuara tanpa sebarang jawatan dalam parti,” katanya.
“Saya juga tidak berhasrat untuk terima apa-apa jawatan lantikan sebaliknya akan terus kekal seperti ini sehingga pemilihan akan datang,” katanya yang memegang jawatan Naib Presiden MIC sejak 2018.
Mohan menambah, tidak timbul persoalan bahawa beliau kecewa dan kemungkinan berhijrah ke parti lain atau sebaliknya.
“Saya lahir dalam parti ini. Saya amat komited dan setia. Ini adalah parti keramat saya. Langsung tidak timbul persoalan mengarut seperti itu. Saya akan terus berjuang dalam parti, bersuara bukan sahaja dalam parti tapi juga secara keseluruhan,” tegasnya.
Untuk makluman, Datuk M Asojan menang undian terbanyak bagi jawatan Naib Presiden MIC diikuti Datuk T Murugiah dan Ahli Dewan Negara, Datuk Dr R Nelson muncul sebagai muka baharu jawatan berkenaan pada pemilihan barisan kepimpinan tertinggi parti itu, bagi penggal 2024-2027.
Asojan dan Murugiah berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden yang dipegang oleh mereka untuk tempoh tiga tahun lepas manakala Nelson sebelum ini adalah Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Selain itu, daripada 44 calon yang menawarkan diri bertanding jawatan CWC, 21 daripadanya berjaya dipilih oleh perwakilan bagi menjawat jawatan itu untuk tempoh sama.
Bagi CWC, daripada 44 calon yang menawarkan diri bertanding, 21 daripadanya dipilih oleh perwakilan untuk tempoh sama.
Antara yang terpilih termasuk S Tamilvanan, D Vincent; D Andrew; P Kamalanathan; S Marathamuthu; M Karuppanan; T Novalan; G Raman dan S Ananthan. – MalaysiaGazette