SHAH ALAM – Pelajar Kolej Pengajian Seni Kreatif, Pengajian Seni Liberal Semester Tiga di Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengadakan Program Mentor Mentee 2024 Pengajian Seni Liberal yang bertajuk Laila Al-Ma’idah dengan meraikan  25 orang anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Al-Mahabbah di sini baru-baru ini.

Menurut penasihat program, Ts. Azroz Mohd,t program tersebut merupakan sebahagian penilaian bagi subjek-subjek praktikal di bawah bidang Pengurusan Industri Kreatif UiTM.

“Di dalam program itu, pelajar juga mengambil peluang meraikan anak-anak yatim dari Rumah Al-Mahabbah sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat Kolej Pengajian Seni Kreatif, disamping dapat bermesra dan berkongsi juadah serta mencipta kenangan berharga bersama mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Bertemakan Islam Arabian Night program itu bukan hanya menambah dimensi rohani tetapi juga menyaksikan pelbagai persembahan kerohanian, budaya dan warisan.

“Di samping itu, pelajar-pelajar diberi ruang dan peluang untuk berinteraksi dan merapatkan ukhuwah antara pelajar dan pensyarah,” katanya lagi.

Menurut beliau, terdapat empat program yang terlibat terdiri daripada program Pengurusan Industri Kreatif, Pengurusan Produksi Filem, Penulisan Kreatif dan Penulisan Skrin dari peringkat diploma hingga ijazah semester satu hingga semester empat bersama 25 orang pensyarah akademik dari Pengajian Seni Liberal.

Selain itu katanya, seramai 34 pelajar terlibat dalam program berkenaan.

“Kesungguhan mereka dalam mengambil inisiatif untuk meningkatkan kesedaran dan semangat dalam memupuk minat belajar serta membentuk identiti diri yang unggul dalam kalangan pelajar dan masyarakat umum adalah amat membanggakan pihak UiTM. ini merupakan acara kemuncak,” katanya.

Sebagai rekod, Program Mentor Mentee 2024 adalah acara kemuncak program Gempita 4.0 yang bermula dari 26 hingga 29 Jun lalu di UiTM Puncak Perdana.

Program itu melibatkan pelbagai aktiviti menarik yang memberi kenangan menyeronokkan bagi kesemua tetamu yang hadir antaranya adalah pertandingan yang melibatkan semua pelajar mengikut semester, seperti Pertandingan Dekorasi Qasr dan Pertandingan Pakaian Terunggul “Malik dan Malika”.-MalaysiaGazette