Tajuddin Abdul Rahman. Foto MOHD ADZLAN, 09 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berharap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengotakan janjinya untuk menerima kembali bekas ahli dan pemimpin parti yang pernah digantung keahlian.

Tajuddin yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, segala kemelut yang timbul sebelum ini antara kedua-dua mereka dapat diketepikan dan menerima kembali mereka yang setia dengan parti terutamanya beliau.

“Orang bergaduh, laki bini pun bergaduh. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula sesama pemimpin, ahli UMNO. Yang mana tergigit hari tu takkan tak sembuh lagi, berapa lama nak sembuh luka.

“Saya percayalah, Presiden Ahmad Zahid yang juga saya kenal rapat dia tolong saya dan saya tolong dia, saya percaya beliau ingat itu semua.

“Kecualilah saya ini sudah tidak berguna kepada parti,” katanya dalam sebuah video hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, UMNO sedia untuk menerima permohonan bekas ahli yang ingin menyertai semula parti itu.

Ahmad Zahid berkata, perkara terbabit akan dibawa ke Lembaga Disiplin untuk menentusahkan keahlian mereka.

Pada Oktober 2022, Tajuddin digantung keahliannya selama enam tahun oleh UMNO kerana kritikan terbuka terhadap parti itu terutamanya kepada Ahmad Zahid.

Antara lain Tajuddin menyifatkan Ahmad Zahid sebagai “liabiliti” untuk parti itu dan menggesanya untuk letak jawatan.

Turut digantung keahlian daripada UMNO ialah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Hussein. – MalaysiaGazette