Dominic Lau

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan supaya menerima nasihat dan kritikan secara terbuka seperti yang disering dilakukannya ketika menjadi pembangkang sebelum ini.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mempersoalkan sama ada Anwar mengalami ‘amnesia selektif’ apabila mengatakan dirinya dan kerajaan pimpinannya bersedia menerima kritikan secara terbuka, namun Perdana Menteri itu dilihat tidak seiring dengan kenyataannya khususnya berkaitan cadangan pelaksanaan subsidi bersasar RON 95 pada tahun ini.

“Anwar dalam temu bual dengan empat stesen televisyen tempatan pada 1 Mei lalu mengatakan bahawa beliau dan kerajaan boleh menerima apa-apa sahaja kritikan. Namun, baru dua bulan berlalu, beliau kini dilihat kembali mengalami ‘amnesia selektif’?

“Daripada percakapan Anwar, dapat dilihat bahawa apabila seseorang itu berada di kedudukan yang berbeza, pemikiran dan sikap mereka juga berubah,” katanya menerusi kenyataan.

Dominic berkata, ahli politik perlu menerima kritikan secara konstruktif tanpa menggunakan agensi kerajaan terhadap sesiapa yang mengkritik kerajaan.

Ujarnya, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap baru-baru ini simbolik terhadap ketidakpuasan hati rakyat dengan dasar kerajaan.

“Jika dibandingkan dengan ‘Superman Hew’ yang dahulu berkempen untuk DAP menggunakan kata-kata yang kasar dan mengutuk orang lain, Anwar tidak pula merasakan tindakan rakan-rakannya itu salah.

“Kini, rakyat hanya menyatakan beberapa perkataan untuk meluahkan ketidakpuasan hati, adakah yang ini tidak boleh diterima?,” tambahnya.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan sedang meneliti keperluan rasionalisasi subsidi dilaksanakan kepada petrol RON95.

Beliau bagaimanapun berkata, buat masa ini tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasarannya menjadi stabil. – MalaysiaGazette