Nurain menunjukkan gambar dua anaknya yang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang susulan termakan keropok mengandungi racun tikus.

GEORGE TOWN – “Dua anak saya masih kritikal dan kini saya lebih tertumpu untuk memastikan kesihatan mereka berbanding ambil tindakan lanjut terhadap jiran”.

Demikian kata Nurain Hasnorizal, 25, ibu kepada dua beradik yang termakan makanan ringan disyaki mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah.

Menurut Nurain, pada masa ini keadaan dua beradik itu masih kritikal dan doktor sedang berusaha memberi rawatan yang sewajarnya.

“Hari ini baru saya dapat masuk lawat mereka berdua dalam tempoh masa 30 minit..walaupun tak lama ia cukup bermakna sekali gus menjadi pengubat rindu saya terhadap mereka berdua.

Nurain.

“Berikutan tidak dibenarkan menemani mereka di wad, saya menyewa motel berhampiran hospital bagi memudah urusan sekiranya dipanggil doktor.

“Tiada lain yang saya harapkan, semoga anak-anak kuat melawan kesakitan mereka,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.

Mengulas lanjut Nurain, dia masih belum menerima panggilan daripada jiran yang didakwa mencampurkan racun tikus ke dalam makanan ringan itu.

“Kali terakhir saya jumpa dengannya (jiran) pada hari kejadian dan saya pun belum fikir tindakan lanjut..biarlah saya fokus kepada kesihatan anak dahulu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nurain turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesejahteraan dua anaknya.

“Saya harap orang ramai hentikan sebarang komen negatif dan biarlah pihak berkuasa sahaja yang menyiasat kejadian,” katanya.

Media semalam melaporkan, Muhammad Luth Syauqi dan Muhammad Akil Syauqi masing-masing berusia dua dan tiga tahun, kritikal selepas termakan makanan ringan didakwa dicampur racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di Kulim.

Makanan ringan berupa keropok itu digantung pada pagar dawai dikatakan dipasang pemilik kebun, bertujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanamannya.

Kedua-dua kanak-kanak berkenaan dikejar ke HPP selepas menerima rawatan di Hospital Kulim. – MalaysiaGazette