KUALA LUMPUR – Dua produk kosmetik, Ailas Wild Rose Petal Face Cream dan Desha Night Cream dikesan mengandungi racun berjadual merkuri dan tretinoin.

Berikutan itu, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam
badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Manakala produk mengandungi tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan. Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini seperti boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Sehubungan itu, katanya, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh
dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3
tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi
RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya, katanya.

Muhammad Radzi menambah, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Justeru, orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers. – MalaysiaGazette