Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR: Polis sudah menyerahkan permohonan Perintah Untuk Menyiasat (OTI) kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk memanggil dan merakam keterangan daripada pelakon lelaki yang dikaitkan kes memukul teman wanitanya di Petaling Jaya dekat sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, permohonan itu telah dihantar hari ini bagi mendapatkan perintah untuk memanggil suspek tersebut tampil membantu siasatan polis.

“Ya, kita sudah submit (hantar) permohonan untuk mendapatkan perintah untuk menyiasat (OTI) kepada TPR hari ini.

“Selepas mendapat kebenaran OTI daripada TPR nanti, kita akan panggil pelakon itu untuk tampil bagi merakam keterangan bantu siasatan dalam kes ini,” katanya hari ini.

Tambah Shahrulnizam lagi, ada keperluan untuk polis memohon perintah berkenaan kerana dalam Seksyen 323 Kanun Keseksaan (menyebabkan cedera) memperuntukkan polis perlu memperoleh OTI daripada TPR untuk menyiasat suspek.

Pada Ahad lalu, seorang wanita mendakwa dirinya dipukul oleh teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara, Petaling Jaya.

Menurut Shahrulnizam, kejadian sekitar pukul 3 pagi itu dipercayai berlaku apabila mangsa keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya.

“Teman lelaki mangsa berusia 37 tahun kemudian meminta wanita berkenaan untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara kira-kira 4 pagi,” katanya.

Shahrulnizam berkata, sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan dipandu teman lelakinya sebelum lelaki itu memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita tersebut. – MalaysiaGazette