KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Pejabat Pembangunan Sumber Manusia Berhad ((HRD Corp) menjadi tumpuan hari ini.
Ini kerana pasukan khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah hadir ke dua-dua pejabat berkenaan.
Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim yang mengesahkan perkara itu berkata, ia bagi mendapatkan dokumen diperlukan berkaitan isu HRD Corp.
“SPRM telah hadir di KESUMA dan HRD Corp untuk mendapatkan dokumen-dokumen untuk siasatan pada tengah hari ini. Fokus siasatan adalah tertumpu kepada isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di bawah Akta SPRM 2009.
“Setakat ini, belum ada saksi yang dirakam percakapan tetapi SPRM tidak menafikan akan memanggil beberapa saksi dalam masa terdekat selepas semakan dokumen dilakukan,” katanya ketika dihubungi media.
Sementara itu, menurut sumber, pasukan khas terbabit telah hadir di kedua-dua pejabat sejak pukul 11 pagi bagi mengambil beberapa dokumen berkaitan pelaburan.
Difahamkan, kehadiran kumpulan pegawai penyiasat itu bagi mengambil dokumen berkaitan isu kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.
“SPRM akan meneliti sejauh mana kesahihan pelaburan tersebut dan adakah ia dibenarkan. SPRM juga akan melihat terlebih dahulu dokumen yang diperoleh sebelum tindakan lanjut termasuk rekod keterangan saksi dibuat,” jelasnya.
Terdahulu, seramai 10 individu melibatkan anggota dan pegawai penyiasat SPRM tiba di Wisma HRD Corp di Jalan Beringin pada 11.30 pagi.
Lima pegawai terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita itu tiba menaiki dua kenderaan berasingan tanpa logo sementara lima lagi pegawai SPRM tiba sekitar pukul 11.39 pagi.
Manakala di Putrajaya, pegawai SPRM dilihat meninggalkan bangunan KESUMA pukul 12.22 tengah hari tadi selepas hampir sejam berada di kementerian terbabit bagi mengambil dokumen berkaitan isu HRD Corp.
Mereka meninggalkan bangunan KESUMA sambil membawa beberapa beg dipercayai berisi dokumen berkaitan HRD Corp.
Sabtu lalu, SPRM mengesahkan telah menerima laporan audit yang dikemukakan Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada minggu lepas mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pula antara lain mendedahkan sejumlah RM4.81 juta baki geran pada tahun 2020 yang tidak digunakan dan belum dikembalikan kepada kerajaan selain sebanyak 62 permohonan levi berjumlah RM1.68 juta diluluskan selepas tarikh latihan serta baki levi tertunggak berjumlah RM205.42 juta setakat 31 Disember lalu. – MalaysiaGazette