Bursa Malaysia Berhad, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pelabur asing kembali ke Bursa Malaysia pada RM394.5 juta minggu lepas selepas dua minggu melaksanakan jualan bersih.

Mereka membuat belian bersih setiap hari minggu lepas, dengan sebahagian besar aliran masuk pada hari Rabu dan Khamis, masing-masing pada RM259.4 juta dan RM86.3 juta.

MIDF Research berkata, sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi minggu lepas ialah pengangkutan & logistik (RM152.9 juta), produk & perkhidmatan perindustrian (RM151.5 juta) dan teknologi (RM93.6 juta).

Sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah produk & perkhidmatan pengguna (-RM91.1 juta), pembinaan (-RM28.6 juta) dan perladangan (-RM27.2 juta).

Menurutnya, pelabur institusi pula terus memainkan peranannya dalam menyokong bursa tempatan dengan belian bersih RM32.2 juta minggu lepas.

Manakala, pelabur runcit menjadi penjual bersih utama minggu ini dengan jualan -RM426.7 juta bersih.

Pelabur runcit menjual setiap hari dagangan kecuali pada hari Jumaat dengan belian bersih RM0.4 juta.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan dan pelabur institusi tempatan masing-masing sebanyak +14.1% dan +5.8% manakala pelabur asing mencatatkan penurunan dalam ADTV sebanyak –6.7% minggu lepas. – MalaysiaGazette