Safee Sali

KUALA LUMPUR- Isu tunggakan gaji yang melanda pemain tengah Kuala Lumpur (KL) City FC, Paulo Josue mendapat perhatian Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Safee Sali.

Dalam satu hantaran di Instagramnya hari ini, bekas penyerang kebangsaan itu melahirkan rasa kecewanya dengan nasib malang menimpa Josue sambil menyokong tindakan lantang pemain naturalisasi tengah Harimau Malaya tersebut untuk bersuara.

Justeru, beliau berharap pihak yang bertanggungjawab untuk pantau isu berkenaan dan dapat mengambil tindakan yang lebih proaktif dalam membendung isu tunggakan gaji yang melanda arena bola sepak ketika ini.

“Tujuh bulan gaji tak berbayar, Paulo Josue akhirnya bersuara! Bila kami bersuara, dikatakan mahu menjatuhkan atau memburukkan imej bola sepak sendiri, tapi bila jadi kes seperti ini, siapa yang mahu dipersalahkan?

“Kami perhatikan apa yang badan induk lakukan dan sila pantau dan buat sesuatu yang lebih proaktif dalam menangani bab (tunggakan gaji) ini. Banyak lagi kelab yang gagal dalam bab gaji,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Josue mendakwa dirinya sudah tujuh bulan tidak dibayar gaji oleh KL City.

Pemain kelahiran Brazil itu berkata beliau boleh dikatakan sudah lupa kali terakhir menerima bayaran daripada pasukan terbabit, sekali gus kini meneruskan kehidupan dengan hanya berbekalkan wang simpanannya.

Dalam hantaran yang sama, Safee berkata meskipun dirinya sudah tidak lagi bermain dalam kancah Liga Malaysia, beliau akan terus memperjuangkan kebajikan pemain bola sepak.

“Keghairahan saya dengan sukan ini tidak akan pudar. Saya tahu perit jerih setiap pemain, pikul tanggungjawab atau keluar dari sukan ini. Dalam kehidupan ini, anda mempunyai pilihan,” katanya. – BERNAMA