KUALA LUMPUR – Pelakon, Sherry Ibrahim berkongsi detik kegembiraan di laman sosial Instagram selepas berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu, dua hari lepas.
Sherry, atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 41, berkata perjalanan pendakian pertama itu bukanlah mudah kerana telah menguji ketahanan fizikal dan mental beliau.
“Syukur, saya berjaya sampai ke puncak, 7 Julai lepas sebelum matahari terbit dan berpeluang melihat pelangi yang indah selepas hujan.
“Pendakian ini sangat mencabar kerana keazaman, fokus dan daya tahan saya perlu dipaksa untuk melebihi had kemampuan saya yang sebenar untuk menawan gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.
“Saya telah berpeluang untuk mengenali ramai kawan baharu yang kuat dan menakjubkan.
“Bagaimanapun, ini bukan sahaja tentang menakluk Gunung Kinabalu tetapi kemampuan diri sendiri dan yang paling penting, ini semua berlaku dengan izin Allah SWT,” katanya dalam muatan di laman sosial itu.
Pendakian yang mengambil masa dua hari satu malam itu akan menjadi kenangan pertama dan terakhir buat Sherry di sana.
“Ini kali pertama dan terakhir ya Akinabalu, saya tak dapat rasa kaki apabila turun dari puncak gunung,” tambahnya.
Sebelum ini, beberapa selebriti tanah air juga telah berkongsi momen mereka ketika berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu seperti Siti Saleha, Hawa Rizwana dan bintang popular dari Korea Selatan, Lee Minki. – MalaysiaGazette