UUM menjayakan Global Education Forum yang berlangsung selama lima hari di Samarkand.

KUALA LUMPUR – Universiti Utara Malaysia (UUM) telah memainkan peranan aktif dalam Global Education Forum yang berlangsung selama lima hari di Samarkand baru-baru ini.

Forum ini dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Sains dan Inovasi Uzbekistan dan merupakan platform bagi universiti-universiti terpilih dari seluruh dunia untuk berkongsi pencapaian mereka serta memperluas jaringan kerjasama.

UUM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail dan Pengarah Bahagian Pemasaran UUM, Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin.

Dr. Russayani telah diberi penghormatan untuk menyampaikan pengalaman UUM dalam aspek ketidaksamaan dalam pendidikan tinggi dan membentangkan inisiatif UUM seperti projek SULUNG 2.0 dan Independent Living Center (ILC) yang bertujuan untuk membuka peluang pendidikan tinggi kepada golongan B40, OKU dan orang asal.

Forum ini turut menyaksikan kehadiran delegasi dari pelbagai negara seperti United Kingdom, Rusia, Brazil, Belgium, China, Jepun, Kazakhstan, Kirgistan, Sri Lanka, India, Pakistan, Indonesia, dan lain-lain.

Wakil dari UUM berpeluang untuk berinteraksi dan berbincang dengan delegasi luar negara bagi membuka peluang untuk kolaborasi dan pertukaran ilmu.

Selain mengambil bahagian dalam forum, Dr. Russayani turut menghadiri International Scientific and Practical Conference yang dianjurkan oleh Tashkent International University of Financial Management and Technologies.

Selain itu, beliau juga bertemu dengan wakil dari Tashkent State University of Economics untuk membincangkan potensi kolaborasi penyelidikan antara kedua-dua universiti.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pemasaran UUM, Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin menyifatkan Global Education Forum yang berlangsung selama lima hari itu sarat dengan pengisian yang bermanfaat.

Jelasnya, delegasi yang terdiri daripada ‘Top 500 in the world’ dapat berjumpa dan berbincang tentang pendidikan tinggi negara masing-masing selain turut melibatkan universiti tempatan.

“Uzbekistan nampaknya aktif dalam hal ini dan saya melihat strategi mereka ialah menjemput ‘top university’ ini untuk berkolaborasi dengan universiti tempatan.

“Dengan itu mereka dapat membuka lebih banyak peluang kepada rakyat mereka untuk sambung belajar di universiti tempatan yang mempunyai kerjasama dengan ‘top universities in the world’,” ujarnya.

Forum ini tidak hanya mengukuhkan reputasi UUM di peringkat antarabangsa, tetapi juga membuka pintu kepada peluang kerjasama dan pertukaran ilmu yang bermanfaat untuk kemajuan pendidikan tinggi di Malaysia dan seluruh dunia.

Wakil UUM juga mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan alumni UUM di Uzbekistan, mengumpul maklumat terkini tentang potensi peluang untuk menarik lebih ramai pelajar Uzbekistan ke UUM dalam masa akan datang. – MalaysiaGazette