Foto: Maritim Malaysia
MIRI – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah vesel nelayan asing Vietnam dengan nilai tangkapan dianggarkan berjumlah lebih RM1 juta dalam Operasi Khas Raja Laut.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, dalam operasi itu turut ditahan dua kru termasuk tekong warga Vietnam, masing-masing berumur 41 dan 42 tahun, di kedudukan 141 batu nautika barat laut Tanjung Sirik, Miri kira-kira jam 12  tengah malam, Jumaat lalu.
“Vesel nelayan asing itu disyaki melakukan kesalahan kerana memasuki Zon Maritim Malaysia tanpa memaklumkan kepada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Khairol Anuar, kesemua kru ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
Tambah beliau, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan kawalan dan pemantauan bagi membanteras pencerobohan nelayan asing di perairan negara terutamanya di sekitar perairan Sarawak.
Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085 – 418204 / Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544 / 082-432016) untuk maklum balas segera. – MalaysiaGazette