KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengekalkan kerusi enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Perdana Menteri bercanggah Perlembagaan.
Sambil melahirkan rasa kecewa dengan keputusan itu, beliau menambah, peruntukan Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan kerusi ahli Dewan Rakyat harus dikosongkan jika tidak lagi menjadi ahli parti politik yang dianggotainya ketika dipilih ke Dewan Rakyat.
“Kini, kita tertanya-tanya apakah gunanya kita mempunyai Akta Antilompat Parti namun tidak dipraktikkan?” soalnya dalam hantaran di laman sosial Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan telah menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang menolak permohonan parti itu supaya kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri dikosongkan.
Menurut Muhyiddin, keputusan tersebut diterima Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran petang semalam.
Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman. – MalaysiaGazette