JOHOR BAHRU – Bekas Pengarah sebuah syarikat import eksport didenda RM21,000 selepas mengaku bersalah terhadap empat tuduhan mengemukakan dokumen mengandungi maklumat palsu, berkaitan permohonan Insentif Pengambilan Pekerja Perkeso membabitkan jumlah RM62,120, tiga tahun lalu.

Tertuduh, P Poowesna, 36 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail menerusi prosiding yang dijalankan secara tertutup di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh, A Mohana Sundharam, 35 yang juga bekas pemimpin muda sebuah parti politik negeri ini, yang didakwa mencapai niat bersama, tidak hadir ke Mahkamah kerana cuti sakit.

Berdasarkan kertas pertuduhan sebelum ini, mereka didakwa mencapai niat bersama-sama memberikan satu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama perusahaan TMB Resources bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) keseluruhan berjumlah RM62,120 itu.

Mereka mengemukakan dokumen itu kepada pegawai Perkeso dengan niat hendak memperdayakan agensi itu yang mana mereka tahu dokumen berkenaan mengandungi pernyataan palsu mengenai nama pekerja baharu yang mana 10 penama dalam borang terbabit bukan pekerja syarikat berkenaan dan dibuat dengan maksud mengelirukan Perkeso.

Semua perbuatan itu dilakukan kedua-dua tertuduh di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso di sini pada 30 Mei 2021 dan mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tertuduh yang sebelum ini adalah pasangan suami isteri itu, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah yang terbabit atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Zahida Muhammad Ruzi.

Poowesna pula diwakili peguam, Muhammad Mohd Nasir.

Sementara itu, peguam, Nur Zafirah Norizan yang mewakili Mohana Sundharam memaklumkan anak guamnya, tidak hadir untuk keputusan hari ini, kerana keracunan makanan sejak pagi tadi dan mendapat sijil cuti sakit daripada sebuah hospital swasta.

Hakim menetapkan 8 Ogos ini sebagai tarikh menetapkan keputusan bagi Mohana Sundharam. – MalaysiaGazette