Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mengingatkan pemimpin parti Gerakan supaya tidak perlu menjadi juara mempertahankan kelompok penggemar loteri.

Jelasnya, parti Gerakan tidak akan mendapat tambahan undi dengan bersikap sedemikian apatah lagi tidak semua bukan Islam menyukai aktiviti itu.

“Dalam pada kita menghormati keputusan mahkamah, kita juga harap Kerajaan Negeri Kedah akan mencari ruang dan peluang dalam konteks undang-undang yang ada bagi memastikan premis-premis judi dan loteri akan terus kekal ditutup,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebooknya hari ini.

Sebelum ini, Naib Presiden Gerakan, Oh Tong Keong dilaporkan berkata, Kerajaan Negeri Kedah sepatutnya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah yang memutuskan tindakan tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen premis perjudian adalah tidak berperlembagaan.

Dalam keputusan pada 20 Jun lalu itu, mahkamah turut mengarahkan Kerajaan Negeri Kedah, Menteri Besar, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBSA) dan Datuk Bandar membayar pampasan kepada operator yang mengalami kerugian akibat keputusan tersebut.

Menurut Tong Keong, parti Gerakan tidak menggalakkan aktiviti judi tetapi menentang tindakan yang menyekat hak individu untuk terlibat dalam aktiviti itu.

Premis perjudian menghentikan operasi sepenuhnya di Kedah pada 2023 selepas kerajaan negeri mengumumkan pengharaman dan mengarahkan pihak berkuasa tempatan tidak memperbaharui lesen perniagaan itu pada 2021. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast