Gambar hiasan. Foto Maritim Malaysia
KUALA KUAR – Seorang kru vesel nelayan tempatan dikhuatiri lemas selepas terjun ke laut semasa anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis menahan vesel tersebut di perairan Kuala Kedah, malam semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot ronda Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis yang sedang melaksanakan Op Aman dan Op Tiris 3.0 telah mengesan vesel berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
“Rentetan itu, bot ronda Maritim Malaysia merapati vesel terbabit kerana mengesyaki vesel berkenaan sedang melakukan aktiviti menangguk siput,” katanya menerusi kenyataan sambil menambah penahanan tersebut dilakukan di kedudukan 4.1 batu nautika barat muara Kuala Kedah pada pukul 9.50 malam.
Namun, menurut Noor Azreyanti, vesel tersebut bertindak melarikan diri dengan memecut laju kem arah perairan Kedah setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Tambah beliau, semasa aksi kejar buru itu, seorang kru disyaki telah terjun ke laut apabila vesel berkenaan ditahan untuk tujuan disoal siasat.
Katanya, Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah telah menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) berkenaan kejadian ini.
“Susulan itu, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengkoordinasikan Operasi Carilamat dan bot ronda Maritim Malaysia, bot Perkasa1224 dan bot Perkasa 1227 telah ditugaskan ke lokasi mangsa disyaki terjun ke laut,” ujarnya.
Noor Azreyanti berkata, usaha mengesan mangsa turut disertai oleh agensi sahabat iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan beberapa vesel nelayan tempatan setempat. – MalaysiaGazette