Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan kini direman bagi membantu siasatan kes penipuan berkaitan kutipan bagi bayaran guaman dengan nilai kerugian kira-kira RM146,087.00. 

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, suspek berusia 41 tahun itu telah direman reman bermula hari ini hingga 12 Julai ini.

Katanya, tangkapan suspek dilakukan berdasarkan maklumat risikan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju dengan menyerbu di sebuah unit kediaman di daerah itu pada 9 Julai lalu.

“Pada 2023, pihaknya telah menerima beberapa laporan polis daripada individu yang menjadi mangsa berhubung penipuan tersebut.

“Hasil siasatan lanjut mendapati, kesemua mangsa telah berurusan dengan suspek yang mengaku sebagai orang tengah dalam urusan guaman.

“Bayaran telah dibuat kepada suspek namun kesemua mangsa berasa tertipu selepas mendapati wang itu digunakan bagi kegunaan peribadi suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Lazim, dalam serbuan di kediaman suspek, polis telah merampas dua unit telefon bimbit milik suspek.

Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati positif methamphetamine.

Susulan itu, polis telah membuka sebanyak tiga kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai dinasihati supaya tidak mudah terpedaya dan menjadi mangsa kepada individu yang menawarkan khidmat guaman dan kutipan dana. – MalaysiaGazette