KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan rasa bimbang dengan pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) khususnya dalam aspek perlindungan terhadap pengguna penerbangan.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, Mavcom sebelum ini berkesan dalam menangani aduan utama daripada pengguna syarikat penerbangan termasuk isu bagasi, kelewatan dan pembatalan penerbangan serta kenaikan harga tiket selepas pembelian.
Selain itu, tambah beliau, Mavcom juga berjaya menangani isu melibatkan caj yang tersembunyi dan iklan yang mengelirukan pengguna oleh syarikat penerbangan.
Malah, tambahnya, Mavcom secara aktif turut mengkaji penyelesaian isu yang disifatkan mendesak iaitu melibatkan pembatalan penerbangan yang ditempah melalui agensi pelancongan yang sering merugikan pengguna.
“Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Mavcom telah berunding dengan CAP dan pihak berkepentingan lain mengenai cadangan pindaan lanjut kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016.
“Dengan pembubaran Mavcom ini, kami mempersoalkan sama ada pindaan baharu kepada MACPC yang boleh meningkatkan perlindungan pengguna syarikat penerbangan dengan ketara akan dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 26 Jun lalu, Parlimen meluluskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 yang membawa kepada pembubaran Mavcom.
Akibatnya, semua hartanah, dana, hak dan fungsi Mavcom akan dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT).
Tambah Mohideen, CAP kekal dengan pendirian menentang pembubaran Mavcom untuk digabungkan dengan CAAM dengan pihak berkuaqsa itu bertanggungjawab sepenuhnya kepada Menteri Pengangkutan.
Ujarnya, keadaan itu akan menghapuskan sistem semak dan imbang yang sebelum ini digunakan apabila Mavcom melaporkan terus kepada Parlimen.
Tambahnya, kerajaan sebelum ini menekankan pembubaran Mavcom dan penggabungan dengan CAAM adalah perlu untuk mengurangkan kerenah birokrasi selain menambah baik penyampaian perkhidmatan penerbangan.
Bagaimanapun, ujar beliau, tidak banyak yang diperkatakan mengenai perlindungan kepada pengguna syarikat penerbangan daripada dasar tersebut selepas CAAM kini akan mengambil alih peranan Mavcom termasuk mengendalikan aduan pengguna.
“Disebabkan itu, CAP kekal dengan kebimbangan mengenai implikasi pembubaran Mavcom bagi masa depan pengguna syarikat penerbangan,” katanya. – MalaysiaGazette