Pembantu tadbir Pejabat Daerah, Tanah bedepan 4 lagi pertuduhan memalsukan dokumen tuntutan di Mahkamah Sesyen Jenayah 1 Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JULAI 2024

SHAH ALAM – Pembantu tadbir Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam berdepan empat lagi pertuduhan memalsukan dokumen dan menipu di Mahkamah Sesyen pada hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, Noor Aliza Hamin pada 30 Mei dan 28 September 2022 menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Tuntutan Bagi Penyediaan Pelan Untuk Tujuan Pecah Tanah di Sabak Bernam berjumlah RM3,700 kepada seorang wanita.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Sementara itu, beliau turut dituduh menipu seorang lelaki supaya menyerahkan wang berjumlah RM3,560 sebagai bayaran proses kelulusan pecah bahagian tanah atas geran mukim di daerah tersebut.

Kesalahan itu dilakukannya pada 12 April 2022 di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan tersebut.

Tertuduh kemudian merayu supaya mahkamah mengguna pakai ikat jaminan bagi dua pertuduhannya sebelum ini iaitu sebanyak RM10,000.

“Yang Arif, saya mohon supaya ikat jaminan saya hari ini digunakan dengan ikat jamin sebelum ini kerana saya perlu  membayar hutang piutang bekas suami dan menjalani pembedahan fibroid,” katanya.

Permohonannya itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alimi Mustapha.

Sehubungan itu Hakim, Datuk Anita Harun menerima permohonan tertuduh dan menetapkan 30 Julai sebagai tarikh bagi pengurusan kes.

Pada 26 Jun lalu, Noor Aliza mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menerima rasuah RM7,880 sebagai dorongan  memproses permohonan pecah tanah dalam geran seorang individu. – MalaysiaGazette