Seorang penunggang motosikal maut akibat tersepit pada tayar sebuah lori dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 31.2 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Pandan Indah, Ampang hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut akibat tersepit pada tayar sebuah lori dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 31.2 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Pandan Indah, Ampang hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kejadian berhubung kejadian itu pada 9.55 pagi.

Susulan itu, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik anggota tiba mendapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha LC135, kereta Toyota Yaris dan lori treler.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang lelaki berusia 30-an itu terlanggar kereta sebelum tercampak ke bawah lori dan tersepit antara tayar lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Mukhlis, mangsa berjaya dibawa keluar anggota bomba dan diserahkan kepada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan untuk tindakan.

Bagaimanapun mangsa telah disahkan meninggal dunia. – MalaysiaGazette