Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berucap pada Ops Pengesanan Majikan Ke-15 Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Hotel Tenera, Bangi, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 10 JULAI 2024.

BANGI – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang melaksanakan kajian bagi mengenal pasti punca segelintir golongan majikan yang culas dalam membuat caruman terhadap pekerja masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya juga sedang mengumpul fakta-fakta dalam usaha mencari kaedah dan jalan penyelesaian terbaik berhubung perkara tersebut.

“Kita memang telah memulakan kajian, kita melihat sebenarnya apa punca majikan ini tidak mengambil tanggungjawab ini sebagai satu perkara penting dalam menjaga kebajikan pekerja.

“Kita berharap kita akan dapat sedikit, mungkin fakta-fakta yang boleh membantu kita apa yang perlu dilakukan lagi, kenapa majikan ini masih culas dan tidak mengambil keutamaan bagi mencarum untuk pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyertai Operasi Pengesanan Majikan (Ops Kesan) Peringkat Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Mengulas mengenai Ops Kesan Ke-15 Mohammed Azman berkata, ia dilaksanakan selepas bulan pemutihan yang memperuntukkan peluang kepada majikan untuk mendaftar dan mencarum pekerja tanpa dikenakan sebarang penalti sebelum ianya berakhir pada 30 Jun lalu.

Katanya, sebanyak 15,540 majikan, selain 262,011 pekerja baharu yang layak mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) berdaftar dengan Perkeso.

“Mengikut jumlah pekerja baharu yang didaftarkan 90,068 daripadanya adalah pekerja tempatan manakala, 171,943 lagi ialah pekerja asing.

“Perangkaan ini merekodkan peningkatan 30.5 peratus bagi jumlah majikan dan 32.6 peratus untuk jumlah pekerja berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Jika dicongak dari segi kadar purata, terdapat 7,081 pekerja dan 420 majikan berdaftar dengan PERKESO dalam waktu 24 jam, sepanjang Bulan Pemutihan dilancarkan tahun ini,” ujarnya.

Mohammed Azman berkata, Ops Kesan Ke-15 membabitkan penugasan hampir 1,000 anggota di seluruh negara dan ia adalah bukti Perkeso komited melindungi hak dan kebajikan pekerja, bukan sekadar ‘wayang’ atau ‘cakap kosong’ seperti tohmahan yang dimainkan di media sosial.

Menerusi operasi besar-besaran ini, jelas beliau, semua majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja tanpa mengira jumlah gaji perlu mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka sebagaimana peruntukan Seksyen 4 dan 5 (Akta 4), serta Seksyen 14 dan 16 (Akta 800).

“Sepanjang pelaksanaan Ops Kesan sejak 2009 hingga Jun 2024, sebanyak 22,251 Notis Kompaun dengan nilai berjumlah RM17 juta dikeluarkan kepada majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja, manakala 24,500 kes sudah didakwa atas pelbagai kesalahan.

“Sehubungan itu, tiada kompromi daripada Perkeso apabila pemeriksaan dijalankan di premis majikan, dengan kompaun akan terus dikeluarkan sekiranya mereka didapati melakukan sebarang kesalahan.

“Malah, Ops Kesan Ke-15 akan dilaksanakan sepanjang tahun dan bukan secara bermusim kerana majikan sudah diberikan waktu secukupnya untuk melakukan pendaftaran perusahaan serta menunaikan hak pekerja ketika bulan pemutihan,” katanya.

Terdahulu, menerusi operasi itu Mohammed Azman berkata, setakat pukul 1 tengahari Ops Kesan yang dijalankan telah membuat pemeriksaan ke atas 1,691 premis dengan sebanyak 112 notis kompaun Akta 4 telahpun dikeluarkan.

Sebanyak 42 lagi kompaun dikeluarkan mengikut Akta 800 dengan jumlah kompaun bagi kedua-dua akta adalah sebanyak 154 dan jumlah keseluruhan kompaun sebanyak RM121,500. – MalaysiaGazette