Gobind Singh Deo.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sekali lagi menegaskan model platform yang membangunkan sistem pengenalan diri dalam talian atau MyDigital ID tidak menyimpan data peribadi pengguna.

Menteri Digital, Gobind Sing Deo berkata, ia merupakan strategi utama kerajaan dalam membangunkan sistem tersebut demi menjamin keselamatan data peribadi rakyat.

“Kerajaan mengambil langkah-langkah mengetatkan lagi undang-undang sedia ada untuk  mengawal aspek kecurian data tetapi berkaitan dengan model membangunkan Digital Identiti.

“Ia tidak menyimpan data peribadi pengguna dan ini adalah strategi utama kepada jaminan keselamatan untuk kita mengelakkan sebarang ketirisan identiti dan data pengguna. Kita tidak mahu identiti pengguna itu dicuri dan sebagainya,” katanya dalam Dewan Rakyat Ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman mengenai strategi kerajaan agar tiada kes kecurian identiti berlaku dalam MyDigital ID.

Menurut beliau, berdasarkan pusat bantuan siber 999, kes kecurian data di Malaysia meningkat daripada hanya dua angka pada 2021 dan 2022 kepada 646 kes pada 2023.

Mengulas lanjut Gobind berkata, keselamatan MyDigital ID adalah seiring dengan sistem algoritma yang tidak boleh dibaca.

“Selain daripada itu, setiap pergerakan data yang digunakan MyDigital tidak boleh dibaca sama sekali. Algoritma ini diakui, diiktiraf dan masuk dalam senarai Senarai Algoritma Kriptografi Terpercaya Negara,” tambahnya.

Menurut beliau, sehingga jam 5.30 petang semalam sebanyak 465,924 pengguna telah mendaftar MyDigital ID, termasuk dalam kalangan penjawat awam.

MIMOS Berhad selaku agensi strategik di Bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan sebagai agensi pelaksana bagi Projek Pembangunan MyDigital ID.

Ia telah bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) (sebelum ini dikenali sebagai Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia, PEDi) di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), katanya. – MalaysiaGazette