Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan bahagian atau klausa dalam Perlembagaan yang tidak dibaca beliau.

Ia susulan kenyataan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang membidas Muhyiddin supaya tidak hanya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain dalam Perlembagaan berhubung keputusan Speaker mengekalkan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu semalam.

“Anwar kata saya baca sebahagian saja daripada Perlembagaan. Saya nak tanya Anwar bahagian mana yang saya tak baca tu?” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Muhyiddin, Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan mana-mana Ahli Parlimen yang terhenti menjadi ahli partinya (ceases to be a member), maka kerusinya di Dewan Rakyat hendaklah dikosongkan.

Selaras dengan peruntukan itu, tambahnya, Bersatu telah membuat pindaan Perlembagaan parti untuk memasukkan keadaan di mana wakil rakyat parti itu terhenti keahliannya serta-merta apabila gagal mematuhi arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

“Antara arahan bertulis yang diberikan kepada mereka ialah supaya menarik balik sokongan yang diberikan kepada Anwar sebagai perdana menteri kerana itu bercanggah dengan dasar parti dan mandat rakyat yang memilih mereka.

“Kalau mereka menarik balik sokongan dan kembali ke pangkal jalan dalam tempoh yang ditetapkan dalam arahan tersebut, maka mereka kekal sebagai ahli parti dan kekal sebagai Ahli Parlimen.

“Itulah semangat yang tersurat dan tersirat dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tambah Muhyiddin, apa yang berlaku dan menimbulkan masalah kini ialah enam Ahli Parlimen Bersatu berkenaan dengan sengaja tidak mematuhi arahan parti dengan berterusan menyokong pihak parti lawan.

Maka, jelas beliau, keahlian mereka dalam Bersatu terhenti secara serta-merta mengikut peruntukan Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu dan berlaku kekosongan kerusi mereka di Dewan Rakyat menurut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

“Saya faham betul peruntukan perlembagaan ini. Yang tak faham ialah Anwar,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast