KUALA LUMPUR – Beberapa persoalan berkaitan pembunuhan kejam model Mongolia, Altantuya Shaariibuu hanya boleh dijawab oleh penganalisis politik, Abdul Razak Baginda.
Hakim Vazeer Alam Mydin Meera berkata, Abdul Razak yang pernah mengaku menjalin hubungan dengan Altantuya antara November 2004 hingga Ogos 2005 bagaimanapun enggan memberikan keterangan bersumpah atau mengemukakan saksi ketika prosiding saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Hanya Abdul Razak sahaja jawab beberapa persoalan timbul, walaupun ada peluang buat penjelasan di kandang saksi beliau memilih untuk melakukan sedemikian.
“Terdapat motif serong yang jelas di Abdul Razak apabila berhujah bahawa tiada kes yang perlu dijawab dalam tuntutan saman tersebut,” katanya.
Beliau berkata dalam dalam penghakiman bertulis setebal 90 muka surat bertarikh 27 Jun lalu yang diperolehi media hari ini.
Vazeer memutuskan demikian bagi menyatakan mengapa Mahkamah Tinggi memutuskan Cif Inspektor Azilah Hadri, Koperal Sirul Azhar Umar, Abdul Razak, dan Kerajaan Malaysia dipertanggungjawabkan atas kematian Altantuya.
Pada 16 Disember 2022, Vazeer ketika bersidang di Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan keempat-empat pihak secara bersama membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta kepada keluarga mangsa.
Azilah pernah memberitahu mahkamah bahawa Abdul Razak menyatakan bahawa dia boleh ‘habiskan perempuan itu’, dalam suatu pertemuan di pejabat penganalisis politik itu pada 17 Oktober 2006.
“Andai benar Abdul Razak berkata demikian, maka dia sepatutnya beri keterangan bersumpah untuk menjelaskan mengapa Azilah dipanggil untuk urus mendiang pada malam 19 Oktober 2006. Ketika itu, wanita itu berada di luar rumah Abdul Razak,” ujarnya.
Pada 2007, bapa Altantuya, Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta anak, Mungunshagai memfailkan saman dan mendakwa terdapat konspirasi terhadap pembunuhan wanita itu.
Mereka menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta.
Altantuya ditembak mati pada 2006 di hutan di Puncak Alam berdekatan Shah Alam sebelum mayatnya diletupkan dengan bom C4.
Azilah dan Sirul disabit membunuh dan dijatuhi hukuman mati manakala Abdul Razak yang juga bekas pembantu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dituduh bersubahat.
Abdul Razak kemudian dibebaskan tanpa dipanggil membela diri manakala Sirul melarikan diri ke Australia sebelum rayuan terakhirnya.
Ketika ini, Azilah sedang menanti hukuman mati di Penjara Kajang. – MalaysiaGazette