Petugas Klinik Kesihatan Pandamaran membuat persediaan sebelum melakukan suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 26 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menanggung kerugian banyak sebanyak RM185 juta akibat daripada vaksin Covid-19 yang telah tamat tempoh dan terpaksa dilupuskan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah kerugian tersebut melibatkan kos logistik, simpanan stok dan sebagainya.

“Saya tidak bermaksud untuk negatif terhadap menteri-menteri terdahulu daripada saya. Apapun soalan ini jarang mahu dijawab oleh menteri atas perkara yang dikatakan obligasi kontraktual.

“Persoalannya bagi menteri-menteri terdahulu dariapda saya, mereka tidak punya SOP atau best practise atau bench marking kerana itu adalah pandemik buat pertama kali.

“Dengan itu saya memahami, kalau ada lebihan itu, ia terkait dengan ketika itu persaingan mendapatkan perolehan vaksin itu adalah sangat sengit,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias (Barisan Nasional) meminta Dzulkefly menyatakan jumlah vaksin Covid-19 yang terpaksa dilupuskan kerana tamat tempoh.

Jelas beliau, sehingga Jun tahun ini kira-kira 9.12 juta dos vaksin Covid-19 pelbagai jenama yang telah luput di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Lebih kurang 10.8 peratus daripada jumlah dos yang kita perolehi atau menerima sumbangan. Proses pelupusan dan pelaporan vaksin dalam simpanan KKM mengikut tatacara pengurusan asset dan pengurusan stok,” katanya.

Sementara itu beliau memaklumkan, sebanyak 26 kes kesan sampingan serius dan akibat vaksin Covid-19 yang telah dilaporkan pada setiap sejuta orang.

“Kesan sampingan serius itu terkait persoalan sama ada kemasukan dalam wad, pemajangan tempoh di wad, membahayakan nyawa dan sebagainya.

“Kami memang mengakui dan sangat sedar ada pemantauan berteusan yang dibuat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan setiap satu kematian itu kita akan susuli dengan forensik untuk mengenalpasti terkait sebab musabab kes serius itu yang sentiasa diambil tanggungjawab,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast