Abdul Rashid Asari

KUALA LUMPUR- Tiada kekosongan luar jangka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang yang disandang Datuk Abdul Rashid Asari.

Perkara itu diumumkan Speaker DUN, Lau Weng San pada sidang DUN Selangor, hari ini.

“Notis dan bukti dari Yang Berhormat Hulu Kelang (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) tidak memenuhi beban pembuktian yang diperlukan untuk membuktikan yang sebaliknya.

“Dengan ini, saya mengisytiharkan bahawa kerusi DUN Selat Klang tidak dikosongkan,” katanya pada sidang DUN Selangor, di Shah Alam, hari ini.

Weng San menjelaskan, pemberhentian keahlian Abdul Rashid dalam Bersatu didapati sebagai satu pemecatan terancang (constructive expulsion) di bawah Perkara LXVA 2(c) Perlembagaan Negeri Selangor.

Bulan lepas, media melaporkan Ketua Pembangkang Azmin telah menghantar notis pengosongan kerusia kepada Speaker DUN susulan pemecatan keahlian Rashid daripada Bersatu.

Ia susulan tindakan Rashid yang juga Bekas Ketua Pimpinan Bersatu Selangor mengisytihar sokongannya kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pada Mac lepas.- MalaysiaGazette