OPR kenaikan guan eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kesal kerana mendakwa jadi bahan ketawa pemimpin MCA, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa kerajaan mengambil lebih ramai anggota polis untuk mengawal balai bagi membolehkan pintu pagar di balai terus dibuka.

Ujar Ahli Parlimen Bagan itu, perlu ada pembiayaan segera oleh kerajaan untuk menambah empat anggota polis dengan tiga daripadanya mengawal balai polis bergilir-gilir manakala seorang lagi sebagai anggota simpanan bagi setiap 837 balai polis di seluruh negara.

Jelasnya, selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan pintu balai polis di kawasan terpencil dan luar bandar akan ditutup selepas pukul 10 malam, ada pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mentertawakan pasukan polis dengan memutarbelitkan kenyataan itu.

Paling dikesalkan, ujar beliau, pemimpin MCA turut menggunakan peluang itu untuk mentertawa, mencemuh dan menghina Saifuddin Nasution dan pasukan polis dengan sama sekali tidak mengendahkan peranan penting dimainkan polis yang sentiasa bertaruh nyawa mencegah jenayah dan menjaga keselamatan rakyat.

“Malangnya, gelakkan, cemuhan dan penghinaan tersebut juga mendapat sokongan beberapa orang lain pula yang mempersoalkan mengapa hospital awam dan kedai serbaneka boleh memastikan pintu masuk mereka dibuka 24 jam sehari tetapi bukan balai polis, walhal polis sepatutnya memastikan kita selamat daripada penjenayah?

“Bagaimana polis akan menjaga keselamatan kita semua jika mereka tidak dapat memastikan balai polis mereka selamat adalah contoh soalan yang kini kita dengar selepas serangan oleh MCA,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Sehubungan itu, tambah Guan Eng, bagi mengelak polis dan Saifuddin Nasution terus menjadi sasaran secara tidak adil serta bahan ejekan, kerajaan perlu segera menyediakan peruntukan bagi pengambilan tambahan 3,348 anggota polis bagi memastikan balai polis dapat terus berkhidmat kepada orang ramai.

Kata beliau, tambahan itu dapat membantu jumlah semasa iaitu seramai 134,978 anggota dan pegawai polis yang turut disifatkan masih tidak mencukupi ekoran laporan kekurangan seramai 4,940 anggota polis.

“Sekiranya kekurangan 4,940 anggota polis dapat diisi dan tambahan 3,348 anggota polis diambil untuk memastikan pintu balai polis terbuka, pasukan polis akan meningkat dengan kekuatan 143,266 anggota,” katanya.

Menurut Guan Eng, tambahan perbelanjaan bagi membolehkan lantikan lebih ramai anggota polis itu pasti disokong sepenuhnya rakyat yang sudah tentu mahukan rumah dan kawasan mereka kekal selamat serta terjamin daripada sebarang jenayah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast