Sebuah kapal kargo ditahan Maritim Malaysia kerana gagal mengemukan sijil insurans yang sah. Foto Ihsan Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal kargo di kedudukan kira-kira 1.1 batu nautika barat laut Sungai Puloh, Kapar, di Selangor, semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan dibuat oleh bot peronda Maritim Malaysia pada jam 11.39 malam ketika melakukan rondaan rutin Op Ehsan dan Ops Tiris 3.0 di perairan negeri itu.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, kapal terbabit dikendalikan seorang nakhoda berusia 41 tahun bersama empat kru dalam lingkungan 28 hingga 50 tahun.

“Kesemuanya merupakan warga Indonesia dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut ke atas dokumen kapal, mereka gagal mengemukan sijil insurans yang sah,” katanya dala kenyataan hari ini.

Seorang nakhoda kapal bersama empat kru kapal warga Indonesia ditahan. Foto Ihsan Maritim Malaysia

Susulan tu katanya, kesemua kru termasuk nakhoda kapal telah ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal mengemukakan sijil insuran yang sah.

Abdul Muhaimin berkata, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan pengkuatkuasaan undang-undang di kawasan perairan Malaysia terutamanya di perairan Selangor. – MalaysiaGazette