KUALA LUMPUR – MCA dan MIC dilaporkan terkejut dengan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN akan bekerjasama dengan PH dalam pilihan raya umum akan datang.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon yang mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari MIC, Datuk R.T. Rajasekaran berkata, kedua-dua parti terperanjat kerana perkara itu tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN yang diadakan baru-baru ini.
Tegasnya, kenyataan Ahmad Zahid bahawa BN tidak akan bertanding dalam kawasan yang dimenangi PH merupakan sesuatu yang tidak pernah dibincangkan.
“Kami perlu berbincang mengenai soal kerjasama ini. Hal ini adalah mustahak untuk BN yang bukan sahaja melibatkan UMNO, tetapi MIC, MCA dan PBRS,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily.
Media sebelum ini memetik Ahmad Zahid sebagai berkata, BN akan menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya umum akan datang biarpun mengadakan kerjasama politik dengan PH.
Susulan daripadanya, masing-masing MCA dan MIC berpendapat bahawa hal itu wajar dibincang di Majlis Tertinggi BN dan bukannya diumumkan secara unilateral oleh satu-satu parti.
Ditanya sama ada kedua-dua parti menyuarakan rasa tidak puas hati, Sin Woon berkata, pada masa ini mereka hanya berasa terkejut.
Katanya, MCA dan MIC juga akan membangkitkan isu tersebut dalam Majlis Tertinggi BN akan datang.
“Kami pun tidak tahu apa yang mengambil tempat iaitu sama ada (Ahmad Zahid) telah ditanya mengenai isu ini semasa mesyuarat agung UMNO (di Maran),” katanya.
Menurut Sin Woon lagi, beliau telah mengadakan mesyuarat dengan Rajasekaran untuk berbincang bagaimana mengeratkan lagi hubungan kerjasama MCA-MIC pada masa akan datang. – MalaysiaGazette