KUALA LUMPUR – Naib Presiden MIC, Datuk R Nelson membidas gesaan segelintir pihak yang menyoal tentang sikap berdiam diri parti itu dalam memperjuangkan isu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kinrara yang menjadi kebimbangan komuniti berkenaan.
Ia membabitkan cadangan sebuah syarikat pemaju perumahan untuk mengambil alih tiga bangunan SJKT Ladang Kinrara bagi tujuan pembangunan.
Nelson yang juga Ahli Dewan Negara menjelaskan, dakwaan kononnya MIC tidak bersuara dalam memperjuangkan nasib hampir 1,000 pelajar sekolah itu adalah tidak benar.
Tegas beliau, parti itu telah lama berjuang namun situasi dulu dan kini adalah berbeza.
Ini kerana pada masa ini kerajaan negeri dan Persekutuan sedang diterajui oleh Kerajaan Perpaduan yang sepatutnya mampu menyelesaikan isu itu yang telah lama bergolak dengan lebih baik.
“Isu ini sudah (berlanjutan selama) beberapa tahun. MIC sejak dulu lagi, iaitu ketika kerajaan negeri diambil alih oleh Pakatan Harapan (PH) sudah bersuara. Kini desakan ‘buat bising’ sudah tidak lagi relevan kerana kita sudah bersama-sama jadi kerajaan.
“Hakikatnya isu itu sepatutnya boleh diselesaikan memandangkan ramai lagi pimpinan terutamanya dalam kalangan India ada dalam Kerajaan Perpaduan, bukan hanya MIC. Tempoh hari, kita lihat Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran telah bercakap tentang isu ini dan beliau dilihat telah melawat lokasi itu.
“Kita juga ada Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kinrara. Kita juga ada Exco Kerajaan Negeri Selangor. Isu ini dapat diselesaikan dengan cara baik. MIC bukan lagi pembangkang untuk buat bising. Adalah tidak adil untuk menuding jari kepada MIC,” katanya hari ini.
Tambah Nelson, pihak terbabit digesa mencari langkah penyelesaian yang lebih baik dan bertanggungjawab bagi memastikan hak sekolah yang sudah wujud sekitar 1946 terbela.
Dalam pada itu, ketika menyentuh isu buli siber, Nelson berkata, perkara itu sentiasa mendapat perhatian parti.
Katanya, ramai dalam kalangan ahli MIC sentiasa lantang bercakap mengenai isu terbabit dengan harapan ia dapat diselesaikan.
“Ini bukan kali pertama isu buli media sosial menyebabkan seseorang kehilangan nyawa. Kita sudah lama bersuara kerana sentiasa bimbang betapa agresifnya segelintir pengguna media sosial sehingga ke tahap membuli pengguna lain.
“Perkara ini bukan main-main sebaliknya semua pihak perlu memikul tanggungjawab. Jangan hanya salahkan pihak berkuasa sebaliknya ini perlu ditangani oleh kita semua.
“Gunakanlah platform ini untuk perkara-perkara baik dan membawa manfat kepada semua. Usah gunakan teknologi ini untuk menjatuhkan pihak lain,” ujarnya.
Baru-baru ini seorang pempengaruh muda, Rajeswary Appahu atau lebih dikenali sebagai Ehsa menjadi mangsa siber buli sehingga bertindak membunuh diri Khamis lalu. -MalaysiaGazette