ACFTA
Bangunan MITI

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah memperoleh potensi eksport berjumlah RM3.3 bilion hasil daripada Misi Perdagangan & Pelaburan selama tiga hari ke Vietnam, meliputi Hanoi dan Ho Chi Minh City dari 8 hingga 10 Julai 2024.

Sebanyak 14 syarikat Vietnam komited untuk mendapatkan produk Malaysia, termasuk elektrik & elektronik (E&E), minyak sawit, bahan kimia dan petrokimia, besi dan keluli, makanan dan minuman, serta barangan pengguna.

Misi ini diketuai oleh Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, diiringi oleh pegawai kanan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Komitmen eksport telah diperoleh daripada pelbagai pemimpin industri Vietnam semasa mesyuarat meja bulat serta mesyuarat empat mata antara syarikat dan Menteri MITI di Ho Chi Minh City, semalam.

Hasil memberangsangkan yang difasilitasi oleh Matrade ini mencerminkan momentum yang semakin meningkat dalam hubungan ekonomi antara Malaysia dan Vietnam, yang menonjolkan peluang bagi komuniti perniagaan antara kedua-dua negara.

Tengku Zafrul berkata, misi ini sebagai pemangkin untuk mengembangkan dan memulakan perkongsian strategik antara entiti perniagaan Malaysia dan Vietnam, di samping mengukuhkan kerjasama dua hala antara dua negara.

“Perkara seterusnya adalah untuk memastikan tindakan susulan segera untuk merealisasikan komitmen ini dengan secepat mungkin bagi menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar dan peluang pekerjaan untuk rakyat kita.

Pada tahun 2023, Vietnam merupakan rakan dagang Malaysia yang ke-11 terbesar manakala Malaysia merupakan rakan dagangnya yang ke-10 terbesar di seluruh dunia.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Vietnam adalah AS$17.38 bilion (RM79.42 bilion) pada tahun 2023 merentasi pelbagai sektor, termasuk pembuatan, pertanian dan perkhidmatan.

Vietnam juga merupakan destinasi pelaburan penting bagi Malaysia, terutamanya dalam pembangunan hartanah, utiliti, perkhidmatan kewangan dan pembuatan.

Sehingga 2023, syarikat Malaysia melabur dalam 717 projek di Vietnam dengan nilai pelaburan sebanyak AS$13.1 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast