Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh (influencer) dibawa pegawai SPRM hadir ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan atas dakwaan menyeleweng dana awam untuk kegunaan peribadi dan tujuan perniagaan di Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 11 JULAI 2024.

PUTRAJAYA – Pasangan pempengaruh yang didakwa menyelewengkan wang derma direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan bermula tahun 2022.

Perintah reman yang bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas mendengar permohonan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut dibenarkan reman dua lagi lelaki yang merupakan pengarah dan pemegang saham terbesar sebuah platform kutipan bantuan disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

Terdahulu, pasangan kontroversi yang masing-masing berusia 30 dan 26 tahun itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Putrajaya memakai baju berwarna jingga dengan diiringi anggota SPRM.

Mereka kelihatan tenang dan tersenyum, malah sempat menyapa pengamal media.

Dua lelaki turut dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan atas dakwaan menyeleweng dana awam. Foto AIZAT ZAINAL, 11 JULAI 2024.

Sementara itu, peguam yang mewakil pasangan itu, Abd Rahim Ali berkata, pihak SPRM membuat permohonan reman selama tujuh hari namun mahkamah membenarkan perintah tahanan sehingga Ahad.

Jelasnya, siasatan kes akan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, iaitu membabitkan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.

“Dua anak guam saya ditahan bukan membabitkan penyelewengan kutipan bantuan, sebaliknya kes salah guna kuasa mengikut Seksyen 23 (1) akta itu.

“Jadi, kami membuat bantahan, sebab tidak kena dengan seksyen yang dipohon oleh SPRM, hakikatnya mereka bukan seorang penjawat awam,” katanya yang turut disertai peguam, Abi Mursyidin Awal dan Fithril Hakim Ab Jalil.

Terdahulu media melaporkan, pasangan suami isteri yang juga ahli perniagaan tudung ditahan SPRM pada jam 6.40 petang semalam.

Menurut sumber, ia berhubung siasatan kutipan derma melebihi jutaan ringgit, namun difahamkan wang itu tidak disalurkan secara betul.

Sebelum ini, pempengaruh itu menerusi peguamnya menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah membabitkan dirinya seperti yang tular di media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast