Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676) yang dipinda akan memastikan layanan sama rata diberikan kepada kanak-kanak dalam sistem undang-undang negara selaras piawaian antarabangsa.

“Bayangkan ketakutan dialami seorang kanak-kanak. Selain itu, cara penyoalan dalam mahkamah amat berbeza dengan cara kanak-kanak berkomunikasi.

“Prosedur seperti pemeriksaan balas, boleh menyukar dan mengganggu saksi kanak-kanak berikutan kaedahnya yang berkonfrontasi dan agresif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Azalina berkata, kedudukan undang-undang saksi kanak-kanak sedia ada bersifat diskriminasi dan lapuk termasuk andaian undang-undang lapuk bahawa kanak-kanak terdedah kepada fantasi dan tidak boleh dipercayai.

Menurut beliau, faktor itu menyebabkan kekurangan laporan dan ibu bapa tidak mahu terbabit dalam proses perbicaraan atau membabitkan kanak-kanak dalam prosedur mahkamah.

Katanya, melalui cadangan pindaan itu, ibu bapa dan kanak-kanak akan lebih yakin melaporkan kesalahan dan lebih selesa memberi kerjasama dalam prosiding jenayah jika yakin kepentingan kanak-kanak yang terbabit akan dijaga.

“Kanak-kanak juga mendapat keadilan tanpa melalui trauma tambahan dan boleh memberi keterangan dengan lebih baik serta mendorong kepada perbicaraan lebih adil memandangkan keterangan oleh kanak-kanak akan diberikan layanan sama seperti saksi-saksi lain,” katanya.

Selasa lalu, RUU yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama antara lain bertujuan mengadakan peruntukan bagi kekompetenan saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam mana-mana prosiding, dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Ia bertujuan meminda Akta 676 dengan objektif utama membuat peruntukan yang lebih baik berhubung dengan keterangan saksi kanak-kanak.

RUU itu juga memperuntukkan seseorang saksi kanak-kanak hendaklah memberikan keterangan dengan sumpah dalam suatu prosiding, jika dia telah mencapai umur 12 tahun dan mempunyai pemahaman mencukupi mengenai keseriusan memberikan keterangan dalam prosiding dan memahami kewajipan bercakap benar.

Selain itu, saksi kanak-kanak yang tidak memenuhi kehendak untuk memberikan keterangan dengan sumpah boleh memberikan keterangan tanpa sumpah dan mahkamah hendaklah memaklumkan saksi kanak-kanak itu bahawa dia mempunyai kewajipan untuk bercakap benar dan mengkehendakinya berjanji untuk bercakap benar.

Seksyen baharu 2c menggariskan tatacara bagi mahkamah dalam menjalankan suatu inkuiri untuk menentukan sama ada seorang saksi kanak-kanak kompeten memberikan keterangan dalam suatu prosiding dan sama ada saksi kanak-kanak memahami sifat sumpah apabila memberikan keterangan.

Menurut RUU itu, inkuiri oleh mahkamah hendaklah dijalankan dengan kehadiran semua pihak untuk memastikan ketelusan dan boleh melibatkan saksi lain dipanggil jika mahkamah fikirkan perlu.

Ketika inkuiri, hanya mahkamah boleh menyoal saksi untuk memastikan penjalanan inkuiri yang berkesan dan pada masa sama memenuhi keperluan saksi kanak-kanak itu.

Berbangkit daripada pindaan yang dibuat kepada Akta 676, Azalina turut membentangkan Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Sumpah dan Ikrar (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali pertama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast