Dr Suhaili Abdul Rahman pada sidang media di Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasioal (PN) yang bertanggungjawab menjadikan enam bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai ahi Parlimen bebas, dakwa Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Labuan itu berkata, keenam-enam mereka yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani sebelum ini juga telah menyuarakan kesetiaan terhadap Bersatu.

Namun katanya, keputusan mereka tidak diterima oleh pucuk pimpinan parti yang kemudian bertindak memecat mereka.

“Yang menjadikan kami sebagai Ahli Parlimen bebas ialah PN daripada blok pembangkang.

“Jadi kedudukan kami dalam Dewan Rakyat terletak di tangan Speaker, status kami ahli Parlimen bebas, di mana kami duduk Speaker yang tentukan, sebab kami angkat sumpah depan Speaker bukan presiden kami. Our faith is in his (Speaker’s) hand,” katanya pada sidang media hari ini.

Turut serta dalam sidang media itu ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi.

Semalam, enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Anwar diisytihar kekal sebagai wakil rakyat.

Perkara tersebut disahkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi surat daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Johari dipetik sebagai berkata, tiada berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu kemudian mendakwa alasan dikemukakan Johari dangkal dan tafsiran dibuat songsang, sekali gus mencemar Perlembagaan Persekutuan.

Membidas kenyataan Muhyiddin, Suhaili berseloroh dengan berkata, kedudukan kerusi Parlimen dalam Dewan Rakyat tidak penting, sebaliknya hanya dijadikan isu oleh PN.

“Kedudukan tidak berubah sehingga kini, tidak salah pun mungkin ia perkara besar bagi PN, tidak bagi kami,” katanya yang menegaskan alasan menyokong Kerajaan Madani adalah demi peruntukan yang perlu diagihkan di kawasan Parlimen masing-masing.

Sementara itu Suhaili berkata, mereka berenam termasuk Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Faisal tidak berniat untuk memporak-perandakan Dewan Rakyat.

Dan, tambah beliau, sekiranya ahli Parlimen pembangkang yang lain ingin mengikuti jejak mereka, terpulang kepada hak masing-masing.

“Kita tidak berhasrat untuk memporak-perandakan Dewan Rakyat. Tidak. Tapi kalau mereka (ahli Parlimen pembangkang lain) yang berpandangan dan berpendapat keputusan kami ini adalah baik kerana mereka sekarang menjadi ahli pembangkang yang tiada peruntukan (terpulang kepada mereka,” katanya lagi.-MalaysiaGazette