KUALA LUMPUR – Polis menyerbu dua setor penyimpanan dadah milik dua sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Komisioner Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam lima operasi yang dilakuakan pada 10 Julai pihaknya menahan empat lelaki.
Katanya, dalam kes pertama, pasukan JSJN Kuala Lumpur melakukan serbuan di tempat letak kereta sebuah pangsapuri kawasan Cheras, sebuah pangsapuri dan kondominium di Seri Kembangan, Selangor paja jam 2.10 petang.
“Dalam operasi ini, dua orang lelaki tempatan berumur 22 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti mengedar dadah telah ditangkap dan hasil ujian saringan awal polis mendapati seorang suspek dikesan positif ketamin.
“Pemeriksaan lanjut pasukan serbuan berjaya membongkar dua stor penyimpanan dadah serta merampas sejumlah dadah pelbagai yang dianggarkan bernilai RM5.02 juta iaitu MDMA seberat 165 kilogram; Ketamin 9 kg; ekstasi 7.5 kg; pil erimin 5 (4.5 kg); gula-gula getah seberat 3.5kg; Kokain seberat 1.6 kg dan Syabu seberat 485 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Kok Chin, siasatan mendapati suspek pertama berperanan sebagai penjaga setor penyimpanan dadah dengan mendapat upah sebanyak RM6,000 sebulan manakala suspek kedua berperanan sebagai runner dengan upah sebanyak RM4,500 sebulan.
Tambah beliau, pangsapuri dan kondominium yang dijadikan setor penyimpanan dadah disewa oleh ahli sindiket dan hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek tidak mengetahui ia disewa atas nama siapa dan juga kadar sewa yang dikenakan.
“Sindiket ini menggunakan kenderaan atas nama individu lain sebagai pengangkutan untuk menghantar bekalan dadah yang dibawa masuk menggunakan laluan darat dari negara jiran di utara Semenanjung itu kepada pelanggannya di sekitar Lembah Klang, Utara dan Selatan Semenanjung Malaysia secara aktif sejak tiga bulan lepas.
“Dalam tangkapan sama pasukan juga menyita sebuah kereta Toyota Vios yang disyaki milik sindiket itu dan sedang mempergiatkan siasatan serta usaha menjejaki saki baki rangkaian sindiket ini,” ujarnya.
Sementara itu, Kok Chin memberitahu, dalam kes kedua, pasukan JSJN Bukit Aman melancarkan dua serbuan dan merampas dadah syabu di Desa Petaling, di sini, dalam operasi yang dilakukan pada jam 2.40 hingga 5.30 petang.
“Dalam operasi ini, pasukan serbuan menahan sebuah kereta jenis Proton Preve di Desa Petaling sebelum pemeriksaan terhadap bonet kereta itu menemui 120 bungkusan plastik hijau berisi bahan kristal disyaki syabu seberat 126.18 kg bernilai RM4 juta.
“Hasilnya dua lelaki warga tempatan yang berdiri di belakang kereta berusia 37 dan 43 tahun dipercayai runner terlibat pengedaran bahan terlarang itu secara aktif sejak pertengahan 2023 untuk pasaran Lembah Klang itu diberkas.
“Siasatan mendedahkan sindiket ini menggunakan modus operandi membawa masuk bekalan dari negara jiran di Utara Semenanjung tanahair dan mengedar sekitar pasaran Lembah Klang dan salah seorang suspek memiliki tiga rekod lampau dadah,” ujarnya.
Kok Chin berkata, ksemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hingga 17 Julai depan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan. – MalaysiaGazette