Mohd Sohaimi Ishak

JOHOR BAHRU – Polis menahan sepasang suami isteri kerana tidak membenarkan anak lelaki mereka masuk rumah sehingga terpaksa tidur di kaki lima perumahan flat keluarga berkenaan di Pasir Gudang, di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, suami isteri berusia 54 dan 56 tahun itu didapati telah mengabaikan remaja berusia 13 tahun itu sejak 7 Julai lalu.

“Pasangan warga tempatan berkenaan telah ditahan reman selama lima hari bermula hari ini.

“Polis yang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu bertindak menyelamatkan kanak-kanak tersebut kelmarin, setelah mengesan video tular berhubung perkara itu.

“Semakan lampau mendapati suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau, namun ujian air kencing kedua-dua suspek adalah negatif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Sebelum ini tular beberapa keping gambar remaja lelaki berkenaan yang tidur di kaki lima sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.- MalaysiaGazette